Sunday, January 2, 2011

Canon Ixus 1000 HS - lebih kompak, pintar dan elegan

SIRI Ixus keluaran Canon kini mencecah tahun yang ke-10 sejak keluaran pertama kamera kompak tersebut dihasilkan oleh pembuat kamera terkemuka tersebut.

Kejayaan Canon menghasilkan siri kamera kompak yang begitu digemari peminatnya turut diteruskan dengan memperkenalkan Ixus 1000 HS sempena sambutan ulang tahun ke 10 siri kamera kompak tersebut.

Lebih kompak, pintar serta elegan daripada siri yang sebelumnya iaitu Ixus 300 HS, Ixus 1000 HS merupakan antara yang terbaik di dalam sirinya bagi tahun 2010.

Mengapa Ixus 1000 HS dikatakan sedemikian? Ini kerana setiap kekurangan bagi kamera kompak sebelumnya telah diperbaiki dan setiap aplikasinya juga telah diperkemaskan.

Ia masih lagi mengekalkan penggunaan penderia CMOS 10 megapiksel sama seperti Ixus 300 HS namun digantikan dengan lensa pemfokusan sebanyak 3.8 kali bersamaan 36 hingga 360 milimeter (mm).Aplikasi video bagi Ixus 1000 HS juga turut diperbaharui oleh pihak Canon dengan menukarkan aplikasi video biasa kepada HD penuh 1080p.

Bagi setiap video, ia mampu merakam sehingga 24 rangka sesaat bersama kesan bunyi stereo serta video dalam gerak perlahan (slow-motion).Bagi reka bentuk Ixus 1000 HS tidak banyak berbeza dengan siri yang sebelumnya namun ia sedikit tampak moden, lebih banyak bersegi selain memiliki garisan timbul yang agak tajam menjadikan ia tampak lebih futuristik.

Selain itu, bentuk panel pilihan untuk aplikasinya juga turut diubah bersesuaian dengan rekaan binaan badannya.Malah, Ixus 1000 HS kelihatan lebih nipis, ia itu hanya berukuran 101.3 x 58.5 x 22.3 mm bermakna ia juga lebih ringan dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja.Ixus 1000 HS tersedia dalam skim dua warna yang amat menarik iaitu, perak-kelabu, merah jambu-merah jambu lembut, dan perang-gangsa.

Selain itu, ia juga memiliki pemproses empat Digic yang mampu mengurangkan kekaburan gambar sebanyak 60 peratus dan skrin seluas 76 mm atau paparan skrin LCD sehingga 230,000 titik.Anda juga boleh merakamkan gambar berturutan ia mampu mencapai 3.7 gambar sesaat dan jika anda hanya mahu menumpukan perhatian sepenuhnya pada subjek yang ingin diambil, set sahaja kamera pada aplikasi automatik.

Malah, mod 'smart-shutter' pula mampu merakamkan gambar secara automatik apabila kamera mengesan subjek yang ingin dirakamkan oleh anda sedang tersenyum.

Bagaimanapun, bagi sesebuah kamera pintar yang memiliki pelbagai aplikasi pintar, pastinya agak ralat apabila kuasa bateri tiba-tiba habis ketika anda sedang berseronok merakamkan gambar yang menarik.

Ia merupakan satu-satunya kelemahan bagi kamera ini, mungkin Canon perlu melihat serta mengkaji semula untuk menetapkan jenis bateri yang sesuai serta mampu bertahan lama untuk penggunaan kamera kompak sebegini.

No comments:

Post a Comment